KUCHING: Sarawak akan terus giat mempelbagaikan produk pelancongan menjangkau pelancongan berbentuk hiburan sebagai sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS), kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada strategi itu termasuk mengkaji potensi program Sarawak Malaysia Rumah Kedua Ku (S-MM2H) untuk membawa masuk pelancong berkualiti ke Sarawak.
Mempromosikan program pelancongan berkualiti seperti MM2H oleh kementeriannya diyakini memberi manfaat kepada sektor pelancongan di negeri ini, katanya pada sidang media di sini.
Justeru, warga asing yang mahu tinggal di Sarawak tidak perlu risau mengenai keperluan dan peraturan baharu program MM2H diperkenalkan Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa Oktober 2021 kerana tidak terpakai dalam program S-MM2H, katanya.
Beliau berkata, sungguhpun Kerajaan Persekutuan menangguh buat sementara waktu program MM2H sejak Jun 2020 bagi memberi ruang mengkaji dan menilai semula program berkenaan, tetapi tidak menghentikan program S-MM2H.
“Ini kerana kementerian saya telah meningkatkan peraturan serta keperluan bagi program Sarawak-MM2H itu berkuat kuasa 1 September 2020.
“Program S-MM2H mempunyai ahli panel bebas bagi menjelas dan memutuskan permohonan. Ahli panel berkenaan bermesyuarat sebulan sekali,” katanya.
Panel itu dipengerusikan oleh kementeriannya termasuk Jabatan Imigresen Sarawak, Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Peguam Besar Negeri, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, MOTAC serta agensi lain, kata Abdul Karim.
Program S-MM2H akan diteruskan dengan kriteria sedia ada seperti menyimpan simpanan tetap dalam bank tempatan berjumlah RM150,000 bagi individu dan RM300,000 bagi yang berpasangan, katanya.
Keperluan lain ialah melabur dalam hartanah untuk dijadikan tempat tinggal yang berjumlah sekurang-kurangnya RM600,000 yang hanya dikenakan kepada pemohon berusia antara 40 hingga 50 tahun, kata beliau.
Menurut Abdul Karim, selain itu, pemohon yang berusia 30 tahun ke atas juga boleh dipertimbangkan jika mereka datang ke negeri ini dengan tujuan menemani anak yang bersekolah di Sarawak atau menjalani rawatan perubatan jangka panjang.
Tempoh tinggal minima selama 15 hari setahun diperlukan dan pas lawatan 10 tahun akan dikeluarkan kepada pemohon yang berjaya, katanya.
Sarawak, tambahnya, masih mengekalkan peraturan yang diperkenalkan sejak September tahun lalu dan ini mungkin menarik minat peserta MM2H di Semenanjung untuk datang ke Sarawak.
Sumber dari : Jiwa Bakti